Ustaz Dr. Abdullah Yasin
عَنْ عَائِشَةَ َرَضِى اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: قَالَتْ هِنْدٌ بِنْتُ عُقْبَةَ امْرَأَةُ أَبِى سُفْيَانَ عَلَى رَسُوْلِ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُوْلَ اللهِ ، إِنَّ أَبَـا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيْحٌ لاَ يُعْطِيْنِى مِنَ النَّفَقَةِ مَـا يَكْفِينِى وَيَكْفِى بَنِيَّ إِلاَّ مَـا أَخَذْتُـهُ مِنْ مَـالِهِ بِغَيْرِ عِلْمِهِ ، فَهَلْ عَلَيَّ فِى ذَلِكَ مِنْ جُنَـاحٍ ؟ فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: خُذِى مِنْ مَـالِهِ بِالْمَعْرُوْفِ مَايَكْفِيكِ وَيَكْفِي بَنِيْكِ وَلَدِكِ
مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Dari Aisyah RA, katanya: Hindon Binti Ubah, isteri Abu Soyan masuk menemui Rasulullah SAW.lalu bertanya: Ya Rasulallah, sesungguhnya Abu Sofyan adalah lelaki yang sanqat kedekut (bakhil), dia tidak memberi nafkah yang cukup untukku dan untuk anak-anakku, kecuali jika aku ambil saja hartanya (duitnya) tanpa pengetahuannya. Adakah aku berdosa kerana berbuat demikian? Maka jawab baginda Rasul SAW.: Ambillah hartanya (duitnya) itu dengan baik yang boleh mencukupi keperluanmu dan keperluan anak anakmu.
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)
SYARAH AL HADIS:
Para ulama mengambil banyak pengajaran dari Al Hadis diatas antaranya:
Orang yang ingin mendapat fatwa dan orang yang teraniaya dibolehkan untuk menceritakan keburukan tentang orang lain yang ada kaitannya dengan perkara yang diminta fatwa atau penganiayaan itu. Perkara ini tidak termasuk ke dalam bab larangan mengumpat (Al Ghibah). Tetapi hal ini termasuk kedalam salah satu jenis mengumpat yang dikecualikan.
Nafkah isteri adalah tanggungjawab atau kewajiban suami. Adapun kadar nafkah ialah secukupnya. Ini sebagaimana yang diisyaratkan oleh Nabi: Ambillah dengan baik yang dapat mencukupkan keperluanmu dan keperluan anak anakmu.
Kadar kecukupan yang dimaksudkan ialah berdasarkan adat dan keadaan manusia, berbeza-beza kadarnya disebabkan kerana perbezaan masa dan tempat, apakah dia orang yang hidup senangkah atau dia orang yang hidupnya susah.
Jika orang yang wajib mengeluarkan nafkah tersebut enggan memberinya kepada pihak yang berhak menerimanya atau bersifat sangat kedekut, maka orang yang berhak menerimanya atau orang yany mengatur perbelanjaan anak-anaknya itu dibolehkan mengambil harta (duit) orang tersebut walaupun tanpa pengetahuannya. Ini kerana sebabnya nyata dan zahir. Dan ini bukan kes khianat, dan ini tidak termasuk kedalam larangan Nabi saw. : ” Jangan kamu khianat kepada orang yang mengkhianati kamu “.
Nafkah anak adalah kewajiban dan tanggungjawab ayahnya. Bukan tanggungjawab ibu dan bukan pula tanggungjawab orang-orang lain seperti datuknya, pamannya dan lain-lain.
Bahawa orang yang diserahkan tanggungjawab mengatur sesuatu urusan perbelanjaan dan kewangan, dapat diterima ketentuannya tentang jumlah kadar yang diperlukan ini kerana dia adalah orang yang memikul amanah, dan dia memiliki kuasa dalam hal itu.
Bahawa orang yang meminta sesuatu fatwa yang ada kaitannya dengan orang lain, jika orang yany ditanya (mufti) dapat menerima kebenaran perkara yang diajukan itu maka tidak perlulah dimaklumkan perkara tersebut kepada orang lain itu. Lebih lebih lagi jika perkara tersebut dapat mendatangkan mudarat (bahaya) sebagaimana persoalan yang terkandung dalam Al Hadis diatas. Barangkali akan rusak rumahtangga Hindon jika aduan itu dimaklumkan kepada Abu Sofyan. (more…)




Peng'Komen' Berani Mati