PERIBAHASA ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ bermakna kita tidak mendapat kejayaan jika tidak berusaha, manakala ‘jangan pula sampai jadi seperti pungguk yang rindukan bulan’ pula bermakna jangan berharap pada sesuatu yang mustahil diperolehi.
Yang penting, kita harus melihat keupayaan diri, bak kata orang: “Bertindak biar berpada-pada. Jangan sampai benda yang diharap tidak dapat, kelak diri sendiri yang menderita.”
Namun, semua itu bergantung kepada niat. Jika betul niat kita, tidak mustahil kejayaan itu menjadi milik kita, tetapi jika sebaliknya, terimalah kepayahan yang bakal dilalui di atas kesilapan sendiri.
Ya. Itulah sebenarnya kunci setiap kejayaan. Kejayaan itu adalah milik sesiapa saja. Tidak kira siapa kita, jika rajin berusaha dan tidak membazir masa yang terluang, kejayaanlah yang akan menjadi upahnya.
Ketika usia mudalah seseorang perlu menyemat sifat bersaing, tetapi biarlah persaingan yang sihat. Pupuk sifat berlumba-lumba untuk menuju ke puncak menara gading.
Lihatlah bangsa lain dan pelajari cara mereka mengejar kejayaan dalam hidup. Mereka berusaha bersungguh-sungguh.
Jarang sekali kita melihat mereka berfoya-foya menghabiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah.






Peng'Komen' Berani Mati