Logo Background RSS

» 2008 » January

  • Undi Pembangkang Gadai Masa Depan: Najib Kelirukan Rakyat
    By Izo on January 31st, 2008 | No Comments Comments

    Najib RazakDewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tertarik dengan kenyataan dangkal Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa sekiranya rakyat mengundi pembangkang akan menggadai masa depan negara. Bagi DPP Pusat, sebarang perubahan yang dibuat oleh rakyat tidak akan menjejaskan negara, bahkan perubahan ini bertujuan menambahkan kebaikan kepada rakyat dan negara setelah sekian lama di perintah secara zalim oleh Kerajaan BN.

    Adalah satu kenyataan yang silap bagi seorang pemimpin apabila menganggap perubahan adalah menggadai masa depan. Bukankah untuk kita lebih berjaya dan mencapai sesuatu yang lebih bermakna kita perlu berubah, dan mengundi pembangkang adalah satu cara kita berubah. Nabi Muhammad SAW sendiri berhijrah ke Madinah apabila kerajaan Mekah yang dikuasai oleh orang Quraisy menolak Islam. Ini adalah satu bentuk perubahan untuk kebaikan, bukannya menggadai masa depan. Rakyat harus melihat apakah keadaan sedia ada dengan kos hidup yang begitu tinggi, indeks kebebasan media yang teruk, indeks rasuah yang tinggi, perlaksanaan demokrasi tempang, salah guna kuasa dan penyelewengan yang begitu meluas dan sebagainya sebagai suatu yang cukup baik? Atau kita perlu berubah sekarang.

    Bagi rakyat di negara maju seperti Eropah dan AS, mengundi pembangkang bertujuan untuk memulihkan semula negara yang dirosakkan oleh regim sebelumnya. Lihatlah bagaimana rakyat Britain, Australia dan AS membuat perubahan. Mereka tidak menggadai masa depan negara. Hari ini, parti pembangkang di AS mendapat sambutan begitu meluas kerana dasar-dasar zalim regim George W Bush. Mereka mahu mengundi pembangkang untuk kebaikan. Dahulupun, di rantau ini, rakyat menjatuhkan Suharto dan tentera menjatuhkan Takhsin Sinawatra dengan tujuan untuk kebaikan kepada negara. Mereka bukan menggadai masa depan.

    Kita harus sedar bahawa telah banyak perkara yang tergadai di Negara ini hasil kerakusan Kerajaan BN selama 50 tahun. Tanah rezab Melayu telah tergadai, bahasa Melayu tergadai, agama Islam tergadai, pendidikan Melayu tergadai, bahkan tanah-tanah ladang Felda juga hampir tergadai. Di Felda Kemahang 3, rakyat terpaksa menebus semula hak mereka yang tergadai di Mahkamah Tinggi. Tiba-tiba pada hari ini, Menteri Felda memberitahu peneroka jangan gadai masa depan negara kepada pembangkang. Pilihan raya ini adalah peluang seluruh rakyat menebus semula segala hak yang telah digadai oleh BN, dan tawaran negara kebajikan oleh PAS adalah untuk menebus semula segala yang tergadai itu.

    SALAHUDDIN HAJI AYUB
    Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

  • Dato’ Ishak Baharom meninggal dunia
    By Izo on January 30th, 2008 | 3 Comments3 Comments Comments

    Dato' Ishak BaharomKUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh) - Bekas Mufti Selangor, Dato’ Ishak Baharom meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh tengah hari ini selepas tidak sedarkan diri dan koma akibat masalah tekanan darah dan dimasukkan ke hospital pagi semalam.

    Menurut seorang anggota keluarganya, jenazah Allahyarham kini dibawa ke rumahnya di Taman Sri Andalas, Klang.

    Katanya, jenazah berkemungkinan akan dibawa ke Masjid Lipat Kajang, Taman Sri Andalas untuk disolatkan jam 9.30 pagi esok.

    Menurut beliau, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, selepas itu.

    Menurut jirannya, Zaitun yang dihubungi Harakahdaily, Ishak sebelum itu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, kemudian telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh setelah tidak sedarkan diri sewaktu dikejutkan bangun untuk menunaikan solat Subuh pagi semalam.

    Sebelum ini, laporan menyebut, pihak doktor yang merawat Ishak telah meminta ahli keluarga beliau untuk membawanya pulang setelah beliau tidak dapat diselamatkan.

    Berdasarkan sumber, ia adalah disebabkan saluran darahnya yang pecah mengakibatkan beliau koma serta tidak sedarkan diri.

    Sumber: HarakahDaily

  • Sharlinie..Apakah nasib kanak-kanak ini?
    By Izo on January 30th, 2008 | No Comments Comments

    Apakah perlu Sharlinie Mohd Nasar,5, menyertai perhimpunan aman anjuran Protes dan Bersih supaya pihak polis dapat mengesan segera kehilangan kanak-kanak comel itu.

    Hari ini merupakan ulangtahun kelahirannya. Sudah 21 hari kanak-kanak itu hilang namun pihak Polis masih gagal menjejakinya.

    Polis gagal mengesan sebarang petunjuk untuk menemui Sharlinie. Pelbagai strategi diatur dan diubah, tetapi tetap gagal.

    Tarikh 9 Januari telah mengegarkan ibu bapa dan seluruh rakyat seorang lagi kanak-kanak perempuan berjaya diculik oleh penjenayah.

    SharlinieApakah nasib kanak-kanak ini? Siapakah yang perlu bertanggungjawab dalam kes penculikan kanak-kanak?

    Adakah adil jika pihak polis menyalahkan ibu bapa kerana cuai menjaga anak-anak?

    Kenyataan seorang anggota polis wanita yang menyalahkan ibu bapa Sharlinie amat tidak wajar.

    Bagaimanapun, Pakar kaunseling, Dato’ Dr Fadzilah Kamsah mengingatkan semua pihak supaya jangan hanya menyalahkan ibu bapa saja.

    Sudah pastinya orang yang tidak pernah hilang anak, tidak akan mengetahui kesedihan seorang ibu bapa yang sudah 21 hari tidak menatap wajah kesayangan anaknya.

    Apakah jaminan kerajaan mengadakan peruntukan khas sebanyak RM75 juta untuk memasang kamera liter tertutup CCTV bagi kes jenayah?

    Peruntukan tersebut disedikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menyediakan kamera liter tertutup (CCTV) di kawasan berisiko tinggi.

    Ia bukan satu jumlah yang sedikit. Jika langkah itu tidak dapat menangani kes jenayah, sudah pasti kroni yang berjaya mengaut keuntungan hasil jualan CCTV.

    Pelik. Dalam perhimpunan aman anjuran Protes dan Bersih, anggota polis, FRU, Rela dan SB boleh menjalankan risikan dan tangkapan dengan cekap dan cepat.

    Malangnya dalam kes penculikan kanak-kanak polis tidak berjaya dan terlalu lembab untuk menjejaki semua kanak-kanak yang hilang.

    Kanak-kanak yang hilang itu hanya dapat dikesan setelah terbujur kaku.

    Kehilangan Sharlinie bukan kes yang pertama. Sudah ramai ibu bapa yang menderita dengan kehilangan anak. Namun, polis tetap gagal mengesan penjenayah licik tersebut.

  • Kenyataan Hamid Othman menyimpang dari Islam
    By Izo on January 29th, 2008 | No Comments Comments

    Hamid OthmanKUALA TERENGGANU, 29 Jan (Hrkh) – Kenyataan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman (foto) berhubung pelaksanaan hukum hudud dalam negara Islam menyimpang jauh daripada ajaran Islam.

    Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata, pelaksanaan undang-undang Islam termasuk hukum hudud merupakan ciri sebuah negara Islam.

    Menurutnya, undang-undang Islam yang merangkumi hukum hudud mesti dilaksanakan di dalam pemerintahan Islam.

    Ini, kerana katanya ia adalah perintah Allah dan Rasulullah yang mempunyai nas qat’i di dalam al-Quran dan hadis.

    Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hamid dalam sebuah akhbar kelmarin bahawa penilaian sama ada negara ini mengamalkan Islam sepenuhnya ataupun sebaliknya tidak wajar dilihat daripada satu isu sahaja.

    Sebagai contoh kata Abdul Hamid, hukum hudud yang mahu dilaksanakan di negara ini tidak sepatutnya dijadikan isu besar kerana ia bukan tuntutan fardu ain.

    “Kenyataan Abdul Hamid itu jauh menyimpang daripada Islam, kalau nak mengampu pun tidak sepatutnya beliau yang mempunyai pendidikan agama membuat kenyataan seperti itu,” ujarnya yang juga AJK Dewan Ulamak PAS Pusat.

    Tambahnya, Hamid juga perlu menyedari bahawa negara ini masih mengekalkan dasar sekular dan pemerintah yang ada menolak dan menentang pelaksanaan undang-undang Islam.

    Justeru katanya, adalah tidak wajar sama sekali bekas menteri itu membuat kenyataan sedemikian yang mengelirukan masyarakat Islam di negara ini.

  • Suharto Meninggal Dunia
    By Izo on January 27th, 2008 | 4 Comments4 Comments Comments

    SuhartoBekas Presiden Indonesia, Suharto yang pernah memimpin selama 32 tahun, meninggal dunia di Jakarta hari ini pada usia 86 tahun.

    Meninggalnya Suharto setelah tiga minggu dirawat di Rumah Sakit Pusat Pertamina di Jakarta, karena komplikasi jantung, paru-paru dan ginjal.

    “Bapak telah kembali ke Rahmatullah,” kata putri tertua Pak Harto, Siti Hardiyanti Rukmana sambil menitikkan air mata kepada para wartawan di luar rumah sakit.

    “Kami meminta maaf atas kesalahan yang telah diperbuatnya selama ini.” kata Tutut lagi.

    Kumpulan doktor mengatakan Suharto mengalami kegagalan pelbagai organ semalam.

    Doktor berusaha untuk membantu Suharto, namun meninggal sekitar jam 13.10 WIB.

    Seorang doktor yang merawati Suharto, Munawar, mengatakan “kami berusaha yang terbaik, namun Tuhan menentukan yang lain.”

    Menurut mantan menteri Sekretaris Negara, Moerdiono, seluruh enam anak Suharto, dan keluarga lainnya berada di sisi tempat tidur Suharto ketika dia meninggal.

    Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menyampaikan pernyataan belasungkawa dan meminta rakyat Indonesia berdoa bagi mantan pemimpin Orde Baru tersebut.

    “Saya juga menyerukan kepada seluruh rakyat Indonesia untuk menunjukkan penghormatan tertinggi kepada salah satu putrea terbaik Indonesia tersebut.” kata Presiden.

    Bendera Merah Putih di luar Istana Presiden di Jakarta diturunkan setengah tiang, dan Sekretaris Kabinet Sudi Silalahi mengumumkan masa berkabung nasional selama tujuh hari.

    Juru bicara presiden mengatakan Presiden Yudhoyono akan memimpin upacara pemakaman hari Isnin di pemakaman peribadi keluarga Suharto di Solo, Jawa Tengah.

    laporan dari BBC News