Angan-angan BN tawan Kelantan ditolak masyarakat bukan Islam
December 29, 2007 – 1:08 amKOTA BHARU, 28 Dis (Hrkh) - Ketika Umno berangan-angan mahu merampas Kelantan, sebaliknya dalam masa yang sama masyarakat bukan Islam di negeri ini pula terus memberi sokongan padu terhadap kerajaan PAS.
Situasi itu dapat dibuktikan apabila majlis makan malam sempena pungutan derma Tabung Pilihan Raya PAS Kota Bharu baru-baru ini dihadiri ramai penduduk Cina dan India.
“Ini secara tidak langsung membuktikan sokongan mereka terhadap kerajaan PAS Kelantan tetap utuh terutamanya menjelang pilihan raya umum akan datang,” kata Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah. Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan secara terbuka melahirkan rasa terharu di atas sokongan yang diberikan masyarakat bukan Islam terhadap kerajaan negeri yang ada sekarang.
Katanya sokongan padu itu menggambarkan perpaduan kehidupan masyarakat majmuk di negeri ini di bawah Menteri Besar yang berstatus ulama benar-benar dirasai.
Oleh itu menurutnya berdasar kepada peningkatan sokongan diterima masyarakat bukan Islam terhadap PAS dan Barisan Alternatif (BA), dijangka PAS dapat merampas semula sekurang-kurang enam kerusi yang dimenangi Umno pada pilihan raya umum lalu.
Kata beliau PAS memerlukan pertambahan sekurang-kurangnya enam kerusi untuk mendapatkan kemenangan yang lebih selesa berbanding 23 kerusi sekarang.
“Walaupun Umno dan BN sering mendakwa mereka akan menguasai Kelantan, sebaliknya kita berkeyakinan penuh akan dapat mengekalkan kemenangan pada pilihan raya umum ke-12 tidak lama lagi,” ujarnya.
Menurut Wan Rahim PAS juga berdasar kepada pencapaian memberangsangkan kerajaan negeri sekarang tidak ada sebab rakyat menolak kepemimpinan ulamak yang menjadi teras utama.
“Selagi ada rakyat, di situ ada PAS, sebab PAS berjuang untuk membawa aspirasi rakyat dan kita berkeyakinan penuh kita akan menambah bilangan kerusi di peringkat Dun dan Parlimen,” ujarnya.
Program itu diadakan di sebuah hotel, di mana 70 meja disediakan dipenuhi masyarakat Cina dan India yang tampil menghulurkan derma bagi membantu memperkukuhkan kerajaan PAS Kelantan.
Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, Naib Yang Dipertua, Datuk Anuar Tan Abdullah, Ketua Penerangan PAS Negeri, Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kota Bharu, Rohani Ibrahim.
Sponsor:












