Harga minyak Singapura turun lagi, kali kelima dalam 20 hari!!

Pelatar MinyakHARGA minyak petrol turun lagi semalam, sebanyak 10 sen setiap liter – penurunan terbesar sejak Ogos 2003.

Ini kali kelima harga minyak petrol turun dalam masa 20 hari.

Langkah mengurangkan harga minyak petrol semalam dimulakan Shell, yang kemudian diikuti Caltex, Singapore Petroleum Company (SPC) dan Mobil.

Dengan penurunan harga itu, harga minyak petrol sebelum ditolak diskaun di kedai minyak sekarang adalah $2.110 seliter bagi petrol oktana 98, $2.036 seliter bagi petrol oktana 95 dan $2.003 seliter bagi petrol oktana 92.

Harga minyak petrol premium sebelum ditolak diskaun pula adalah $2.239 seliter bagi Shell V-Power dan $2.236 seliter bagi Caltex Platinum.

Menurut para penganalisis, harga minyak petrol turun kebelakangan ini kerana kebimbangan tentang permintaan minyak semakin reda.

Harga minyak mentah mencecah paras AS$100 ($135) setong pada awal tahun ini, sebelum meningkat ke beberapa paras rekod akibat kebimbangan mengenai permintaan minyak yang terus bertambah ekoran ketegangan antara Barat dengan Iran mengenai program nuklear Teheran.

Ketidakstabilan di Nigeria, salah sebuah negara pengeluar minyak Afrika utama, turut menjadi faktor, kata para pengamat.

Harga minyak boleh jatuh ke paras AS$70 dan AS$80 setong jika dolar Amerika terus kukuh dan kebimbangan mengenai Iran berkurangan, kata ketua Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec), Encik Chakib Khelil, Sabtu lalu.

Berita penurunan harga minyak petrol semalam melegakan para pemandu, terutama seperti Encik Muhd Fuzail, yang perbelanjaan kereta beliau mencecah sekitar $500 sebulan.

‘Oleh kerana saya perlu menggunakan kereta untuk ke sana sini dalam menjalankan tugas saya, tentunya penurunan harga minyak menggembirakan saya.

‘Saya harap harga minyak akan terus berkurangan,’ kata pegawai teknikal berumur 32 tahun itu.

Source: http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/story/0,3617,123704,00.html

7 comments - What do you think?

Sasterawan Negara S.Othman Kelantan meninggal

S.Othman KelantanNegara kita kehilangan seorang lagi tokoh sasterarawan negara apabila Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali sebagai S. Othman Kelantan pulang ke rahmatullah pada jam 12.05 tengah malam tadi di Hospital Serdang.  Sasterawan Negara yang ke-9, S. Othman Kelantan, 69, meninggal dunia tengah disebabkan serangan sakit jantung, paru-paru berair dan tekanan darah rendah. Khabarnya, akan dikebumikan tanah perkuburan di Seksyen 3 Tambahan, Bandar Baru Bangi.

Arwah yang pernah menulis novel “Juara” dan diadaptasikan oleh U-Wei Shhari kepada filem “Jogho” adalah tokoh yang memperjuangan sastera dan bahasa Melayu sejak dari zaman mudanya.

Dalam ucapan penerimaan Anugerah Sastera Negaranya pada 2003, arwah ada menekankan betapa pentingnya PPSMI dikembalikan ke dalam bahasa ibunda iaitu, bahasa Melayu.

Ia merupakan suatu kehilangan besar kepada dunia penulisan dan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu.

Inna-lillahi-wainna-ilaihiro’ji’uun. Al-Fatihah!

Berikut adalah serba ringkas biodata Syed Othman Syed Omar atau S Othman Kelantan.

S OTHMAN KELANTAN atau nama sebenarnya Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) dilahirkan pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.

Beliau memperoleh Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Setelah lulus Ijazah Sarjana, S Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ATMA.

Jawatan terakhirnya yang disandang ialah Profesor Madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999). Kini beliau menjadi pensyarah sambilan di Pujangga Management Institute (Francais UUM).

S Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Sehingga kini S Othman telah menghasilkan lebih 182 buah cerpen. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja.

Antara novel beliau yang terkenal ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1973), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003. Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian.

Cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia, Thai, Vietnam dan Cina.

Sebagai seorang sarjana sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku-buku akademik yang berkaitan tentang kesusasteraan.

Selain menulis cerpen dan novel, S Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 364 buah esei/kritikan.

Di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera, beliau turut terlibat dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa).

Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam dunia kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003).

9 comments - What do you think?