Putar, putar, jangan tak putar
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu tergelak besar apabila diberitahu tentang berita Bernama yang disiarkan laman web berita mStar bertajuk “Mat Sabu tidak yakin menang di Terengganu”.
“Saya kata saya mematuhi arahan parti untuk bertanding di sini (Kuala Terengganu). Saya juga kata, memanglah Umno Terengganu kuat kerana banyak duit. Maksud saya kuat kerana banyak duit, bukan banyak sokongan,” katanya lagi ketika dihubungi.
Mohamad Sabu pernah mengundurkan diri dari “kawasan menang” kerana mematuhi arahan parti dalam tahun 1999.
Selepas itu, katanya, pemberita berkenaan bertanya adakah beliau mahu bertanding di Pulau Pinang.
“Saya kata, memanglah. Pulau Pinang kampung saya. Tentulah saya lebih suka bertanding di kampung saya,” katanya lagi sambil menyifatkan perasaan suka kepada tempat sendiri sebagai sesuatu yang lumrah.
Beliau juga menyatakan, kalau bertanding di Pulau Pinang, beliau yakin memang.
“Adakah saya nak kata, kalau bertanding di Pulau Pinang, saya akan kalah? Sama seperti di Terengganu, pembangkang ada peluang besar di Pulau Pinang,” tanya beliau sambil mejangkakan Barisan Nasional menghadapi masalah yang besar di Pulau Pinang.
Mengenai peluang Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang, Mohamad Sabu berkata, dari segi kerusi Parlimen, parti itu mungkin hanya akan menang tiga kerusi sahaja. Beliau enggan menamakan kawasan-kawasan tersebut “kerana saya nak tengok BN kalah dahulu”..
Bernama melaporkan, “Naib Presiden PAS Mohamad Sabu berharap tidak akan dicalonkan bertanding di Terengganu, sebaliknya dibenarkan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-12 ini.
Read more…
